Pages

Sunday 28 June 2009

SOAL HATI DAN AQIDAH





Keimanan atau keyakinan yang jitu kepada Allah swt. dan i'tiqad yang sah adalah asas kepada sebarang bentuk amalan . Amalan yang ditunaikan sekalipun teliti dan banyak , tidak memberi erti apa - apa justeru ia tertanggung di atas nilai aqidah . Allah telah mengumum perihal amalan orang - orang yang kufur ( rosak aqidahnya . )


و قدمنا إلى ما عملوا من عمل فجعلناه هـباء منثورا


" Dan kami hadapi segala amal yang mereka kerjakan , lalu kami jadikan amal itu bagaikan debu yang berterbangan "


( Al Furqan 23 )


و من يرتدد منكم عن دينه فيموت وهو كافر فأولئك أصحاب الـنار هم فيها خالدون


" Dan barangsiapa dikalangan kamu yang berpaling dari ugamanya , lalu ia mati dalam kekafiran , maka mereka itulah yang sia-sia amalannya di dunia dan di akhirat dan mereka itulah penghuni api neraka , mereka kekal di dalamnya . "


( Al Baqarah 217 )


Baginda Rasul saw. dalam orientasi membentuk kader perjuangan ini terlebih dahulu menusuk masuk nilai aqidah kepada para sahabatnya . Berasaskan kekuatan aqidah yang sedia terbentuk itulah Rasulullah saw menyusun strategi pelaksanaan syariat secara menyeluruh mengikut agenda Ilahi. Ammar bin Yaser , Bilal bin Rabah dan lain - lain sahabat rhm. telah membuktikan ketahanan aqidah mereka dan perkembangan gerakan jua amal Islami menyaksikan orang - orang yang telah teruji ini menjadi terajunya .


Kekuatan aqidah mendorong amalan yang berterusan sekalipun melintasi zon - zon sukar dan mencabar . Tidak dinafikan , zaman yang penuh fitnah dan mehnah ini memungkinkan amal Islami dikepung dan terdedah kepada bahaya pemupusan . Dalam kehidupan seharian manusia modern , peruntukkan waktu untuk amal Islami adalah peruntukan yang paling minima . Sebahagian besarnya dilangsaikan untuk kepentingan dunia dan perut .


Aqidahlah yang memainkan peranan sebagai pendesak untuk merealisasikan amal Islami. Seseorang yang beramal banyak tanpa aqidah , amalnya binasa dan orang yang tidak beraqidah umumnya tidak beramal .


Amalan hati


Suatu realiti pula bahawa amalan hati adalah sepenting - penting amalan dengan tidak menafikan pentingnya amalan - amalan anggota kerana hati ibarat ' ibu sawat ' dalam tubuh manusia yang menguasai amalan anggota - anggotanya .


Rasulullah saw. bersabda:


ألا و إن فى الجسد مضغة إذا صلحت صلح الجسد كله وإذا فسدت فسد الجسد كله ألا وهى القلب


" Ketahuilah bahawa pada jasad itu ada seketul daging , apabila baik ia maka baiklah seluruh jasad dan apabila rosak ia maka rosaklah seluruh jasad . Itulah hati. "


( Bukhari dan Muslim )


Hadis ini adalah isyarat bahawa baik buruknya amalan anggota bergantung kepada baik buruknya pula hati seseorang . Jika hatinya sejahtera tanpa cela, melainkan kecintaan yang tinggi kepada Allah dan senantiasa takut terjebak dalam kemunkaran maka secara automatik anggotanya pula menjadi sejahtera dari kecelaan .


Allah swt berfirman .


قد أفلح من زكاها و قد خاب من دساها


" Sesungguhnya telah beroleh kejayaanlah orang yang menyucikan jiwanya dan rugilah orang yang mengotorinya . "


( Asy Syams 8-9 )


Amalan hati ialah ialah membentuk dan membersihkan hati dengan dihiasi pula oleh sifat - sifat mahmudah seperti :


1. ذكر الله mengingati Allah
2.
اتق الله takut kepada Allah
3. الصبر و المصابرة Sabar menghadapi kesukaran dan desakan nafsu
4. القناعة memadai dengan kurniaan Allah
5. الشكر syukur dengan pemberian Allah

6. الرضا redho terhadap qadha dan qadar Allah .
7. المجاهدة melawan keinginan nafsu
8.
المحاسبة menghisab dan menginsafi diri
9. المعاقبة menghukum diri kiranya melakukan dosa
10. التوبة memohan ampun yang berterusan dari Allah


Amalan -amalan hati ini merupakan kesaktian individu muslim yang mampu mengubati barah hati yang bakal menjerumuskan sesorang itu kelembah neraka Jahannam .




Tanda -tanda ' Barah hati :


1.
اتباع المتشابهة من القرآن

( mengikut ayat - ayat kesamaran untuk mencetus fitnah )


فأما الذين فى قلوبهم زيغ فيتبعون ما تشابه منه ابتغاء الفتنة وابتغاء تأويله و ما يعلم تأويله إلا الله


" Adapun orang - orang yang dalam hatinya condong kepada kesesatan , mereka mengikut sebahagian ayat - ayat kesamaran untuk menimbulkan fitnah dan untuk mencari - cari ta'wilnya padahal tidak ada yang mengetahui ta'wilnya melainkan Allah . "


( Al Imran 7 )


2.
الـنـفـاق ( munafiq - talam dua muka )


و من الناس من يقول ءامنا بالله و باليوم الأخر و ما هم بمؤمنين يخادعون الله والذين ءامنوا و ما يخدعون إلا أنفسهم و ما يشـعرون فى قلوبهم مرض فزاد هم الله مرضا و لهم عذاب أليم بـما كانوا يكذبون .


" Diantara manusia ada yang mengatakan kami beriman kepada Allah dan hari kemudian padahal mereka itu sesungguhnya bukan orang - orang yang beriman . Mereka mahu menipu Allah dan orang - orang yang beriman , padahal mereka hanya menipu diri sendiri sedang mereka tidak sedar . Dalam hati mereka ada penyakit lalu ditambah Allah akan penyakitnya dan bagi mereka azab siksa yang pedih disebabkan mereka berdusta . "


( Al Baqarah 8-10 )


3.
التـمرد على حكم الله و الرسول

( sombong terhadap hukum - hukum Allah dan rasulnya.)


و إذا دعوا إلى الله و رسوله ليحكم بينهم إذا فريق منهم معرضون و إن يكن لهم الحق يأتوا إليه مذعنـيـن أفى قلوبــهم مرض أم ارتــابوا أم يخـــافوا أن يحيف الله عليهم و رسوله بل أولئك هم الـظـالـمون .


" Dan apabila mereka dipanggil kepada Allah dan Rasulnya , agar rasul menghukum dikalangan mereka , tiba - tiba sebahagian mereka menolak untuk datang . Tetapi jika keputusan itu untuk kemaslahatan mereka , mereka datang kepada rasul dengan patuh . Apakah ketidak datangan mereka itu kerana dalam hati mereka ada penyakit atau kerana mereka ragu - ragu ataukah kerana takut kalau - kalau Allah dan Rasulnya berlaku dholim kepada mereka ? sebenarnya mereka itulah orang -orang yang dholim ."


( An Nur 48-50 )


4. المسارعة فى موالاة الكافرين ( berkepimpinankan orang - orang kafir )


5. الطمع فى المعصية و الرغبة فيها ( ketagih maksiat )


6. التقاعـس عن الجهـاد ( resah gelisah / rimas terhadap jihad )


Firman Allah swt :

" Dan orang -orang yang beriman berkata , mengapa tiada diturunkan suatu surah ,
و يقول الذين ءامنوا لولا نزلت سورة فإذا أنزلت سورة محكمة و ذكر فيها القتال رأيت الذين فى قلوبـهم مرض ينظرون إليك نظر المغشى عليه من الموت فـأولى لـهم


maka apabila diturunkan suatu surah yang jelas maksudnya dan disebutkan di dalamnya perintah perang , kamu lihat orang - orang yang ada penyakit didalam hatinya , memandang kepadamu seperti pandangan orang yang pengsan kerana takut mati dan kecelakaanlah bagi mereka . "


( Muhammad 20 )


Tuntutan supaya disempurnakan kedua -dua amalan ( hati dan anggota ) tetap menjadi tuntutan syara' yang mesti ditunaikan , sungguhpun martabat tuntutan keduanya berbeza .

Diriwayatkan bahawa Lokman Al Hakim telah diarahkan oleh tuannya supaya menyembelih seekor kambing dan diserahkan kepadanya dua bahagian yang paling baik dari kambing itu . Lalu Lokman Al Hakim membawa lidah dan hati . Kemudian diperintah supaya menyembelih kambing yang lain dan dicampakkan dua bahagian yang paling buruk , lalu dicampakkan lidah dan hati .


Maka berkata tuannya , apabila aku mengarahkan kamu bawa dua yang paling baik kamu bawakan lidah dan hati dan apabila aku arahkan kamu buang dua yang paling buruk , kamu buang lidah dan hati . Maka jawab Lokman Al Hakim .Tiada yang paling baik dari keduanya apabila kedua -duanya baik dan tiada yang lebih buruk dari keduanya apabila keduanya buruk .


Aqidah adalah asas kepada amal dan amalan hati lebih penting daripada amalan anggota . Menghasilkan kesempurnaan kepada kedua - duanya dituntut syara' sekalipun berbeza martabat tuntutan itu
.

Antara punca tergugatnya kekuatan dalaman , dalam menangani apa jua masaalah yang mencetus krisis peribadi dan seumpamanya dalam gerakan Islam kini adalah bermula dari kerosakan ' ibu sawat ' nya


Diadaptasi dari blog Ust Nasruddin Tantawi

2 comments: