Pages

Wednesday 29 June 2011

Wanita dan Agama



Di mesir pelajar melayu yang sebelum ini di dominasi oleh pelajar-pelajar pengajian islam dari Universiti Al-Azhar adalah wanita yang merupakan bakal ustazah dan pembimbing masyarakat sentiasa memakai pemakaian yang mengikut adab islam, suasana ini tidak pelik kerana mereka berasal dari sekolah agama. Kemudian kebanjiran pelajar kalangan sains perubatan yang berasal dari aliran persekolahan yang pelbagai telah menukar suasana di negara ini. Suasana anak melayu hampir menyamai universiti-universiti tempatan di Malaysia.

Wanita secara umumnya lebih mementingkan agamanya daripada lelaki, mereka lebih mencintai Allah S.W.T dan Allah mengkhususkan mereka dengan sifat perihatin, lemah-lembut dan penyayang menjadikan mereka lebih dekat dengan fitrah agama islam berbanding lelaki. Jika diperhatikan dan keperihatinan mereka dalam agama lebih berbanding lelaki, mereka lebih bersungguh-sungguh untuk mengikuti agama dan lebih takut kepada balasan seksa di akhirat kelak.

Hakikat ini menjadikan kita percaya bahawa pengaruh kemodenan barat, perang pemikiran dan budaya barat yang cuba untuk merosakkan wanita islam, menanggalkan pakaian yang mengikut syara’ daripada mereka dan meragut budaya islamiah masih belum Berjaya sepenuhnya. Muslimat-muslimat kita masih mempunyai jiwa agama dan dan aqidah islam. Hakikatnya islam masih mempunyai kemampuan untuk memenangi pertembungan ini dengan jihad, perancangan dan bantu-membantu antara seluruh pendokong dan pejuangnya.

Dalam dunia hari ini kita lihat wanita dari pelbagai bidang telah memilih dan beriltizam dengan syariat dan adab islam walaupun berada dizaman yang mana serangan pemikiran dan budaya dari luar dan dalam amat hebat. Kalau kita lihat kepada pelajar universiti sendiri ramai yang sudah kembali kepada agama dan menolak serangan pemikiran dan budaya yang datang.



Pemakaian jubah dan purdah bukanlah perkara pelik sekarang walaupun ia adalah pelik dan ganjil satu masa dahulu. Jika diperhatikan pada wanita yang masih memakai pakaian ala barat yang keluar dari adab islam sekalipun masih menjaga ibadat mereka seperti solat dan puasa, berlumba-lumba menunaikan haji dan umrah serta menunaikan rukun-rukun agama.

Ini bermakna benih agama dalam hati mereka masih belum mati, jika disemai dan dijaga dengan baik akan menjadikannya tumbuh , membesar, berbunga dan berbuah, akan mampu diperolehi hasilnya dalam waktu yang hampir, Insyaallah.

Perubahan dan penghijrahan ke arah kebaikan amat didambakan dari generasi ini untuk membawa dan mendokong kebangkitan islam yang sinarnya makin cerah dan meninggi di seluruh pelusuk dunia.

No comments:

Post a Comment